Sastra Untuk Silaturrahmi Antar Bangsa, Persaudaraan, dan Perdamaian ! Happy Reading !

Puisi Gabriel Kimjuan

0



 

IBU ADALAH BULAN

 

Jeritan ibu

membawa aku 

menjadi manusia baharu

bulan mengubah waktu

saat aku tidur diperut gebu

menyusukan seputing rindu

 

Ketika hujan berkarya

susuk bibir mulia berlaga

lindung aku bawa syurga

senyuman ratunya berharga

pemilik indah tak terhingga

buaian tangan terus terjaga

 

Ketika ibu adalah bulan

sinari jalan nasihat tujuan

tabah berbagi kisah pedoman

kerana ibu tempat pelukan

jika takdir pemisah jalinan

pohon doa kiriman Tuhan

 

Andai ibu menjadi cermin

aku akan menjadi pelamin

ajaran didikan iman terjamin

dari kuasa selembut sentuhan

kirimkan aku sebuah idaman

wajah firdausi pencipta taman

 

 

Taman Mutiara,

Labuan, Malaysia


 

ROTAN

(Sempena Hari Guru 2021)

 

Cuma sebatang rotan

seperti senjata sultan

dijentik bukan paksaan 

 

Gigit luar kulit

ubat dalam cubit

hukum untuk bangkit

 

Jual ada harga

ibu ayah bangga

anak guna tangga

 

Amanah dari Tuhan

andai jutaan aduan

tetap ada ganjaran

 

 

Taman Mutiara,

Labuan, Malaysia


 

BULAN MEMUNTAHKAN DARAHNYA

 

Bulan mengetuk ke langit

hadir membawa berita pahit

menangis disebalik arora bukit

lidah sujud lalu bangkit

mencari niat jauhkan penyakit

di saat ada murkah dan sakit

doa zikir sejuta bait

melihat manik-manik menjerit

bercahaya di lautan bisik

sempatkah lagi bulan menjahit

serpihan hidup pulang ke rakit

 

 

Taman Mutiara,

Labuan, Malaysia


 

DIAM YANG SAKIT MENCARI TUHAN

 

Darah mengalir sepohon nadi hidup

gugur dedaun sayembara redup

terjemahan kesakitan kian cukup

untuk membawa hati angin gugup

 

Kesepian bukan sempurna di mata

tangis berteman dinding gempita

menutup jalan-jalan syurga pelita

retak kota mahligai sang cinta

 

Di kala sesuap kehidupan terhenti

tiada lagi kekuatan untuk diganti

adakah semua sudah tidak bererti

tanpa langkah baharu seruan bakti

 

Usia di jendela kenangan

mengibar mimpi-mimpi angan

kembali bertunas kepada Tuhan

ujian dan rahmat mengubah senyuman

 

 

Taman Mutiara,

Labuan, Malaysia


 

 

TAMAN BUAIAN YANG TERSENYUM

MEMBAWA ANGIN RINDU BERNAMA MAMA

(ulang tahun kelahiran Ibuku)

 

Lampu mula menyalakan kuasa

dalam dinding putih mula berdoa

menahan sengsara seorang wanita

aku menangis di kain muda

di sambut oleh tuhan kedua

 

Berpinar wajah seraut cinta

di alas lengan terbuai mesra

sembilan bulan berkongsi rasa

lahirku tetap berjiwa manusia

segala kesulitan tiada terasa

 

Hari ini lahirmu bernama mama

tujuh puluh tahun menanam cita

mata hatimu terus membara

dewasa kami dan aku bersama

membibit senyuman dan juga bahagia

 

Kotakan apa lagi yang belum dibina

untuk membuka pelabuhan syurga

sesekali maniskan dengan tinta kata

hingga terasa dan teristimewa

kerana mama adalah kunci cahaya

 

 

Taman Mutiara,

Labuan, Malaysia


                          Tentang Penyair

Gabriel Kimjuan penyair kelahiran tahun 1988. Dia adalah seorang penyair muda Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Karyanya pernah tersiar di Utusan Borneo, New Sabah Times, Harian Ekspres, Sinar Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Selangor Kini. Malah, karyanya juga pernah tersiar di majalah Wanita, Wadah, Tunas Cipta, Dewan Budaya, dan di corong radio Malaysia, Labuan FM. Dia aktif berkarya di laman sosial facebook. Dia mempunyai 65 buah buku antologi bersama. Gabriel Kimjuan pernah menerima Anugerah Penulis Muda PERWILA tahun 2015; dan Pemenang ASEAN E-WRITER AWARD oleh E-Sastera Malaysia tahun 2016. Dia mempunyai dua buah kumpulan puisi antaranya Benang Merah (2015) dan Bilik Istimewa (2017). Tahun 2019 dia menerbitkan sebuah buku baru kumpulan puisi ketiga, Sajak Bekerja.

 

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment
To Top