Sastra Untuk Silaturrahmi Antar Bangsa, Persaudaraan, dan Perdamaian ! Happy Reading !

Resensi Syuhara Suriati

0



Identitas Buku

Judul : Ada Apa Dengan Buku

Penulis : Shaharom TM Sulaiman & Suriati Shamsuddin

Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Cetakan: Pertama, 2004

Ketebalan : 301 Halaman

ISBN : 97896761161

 


Resensi Ada Apa Dengan Buku?

 

Judul buku Ada Apa Dengan Buku ialah karangan Tuan Shaharom TM Sulaiman dan gandingan penulis wanita yang serba mantap dalam menukang takah-takah ideanya iaitu Puan Suriati Shamsuddin. Tuan Shaharom ialah penulis buku yang sangat dikenali ramai kerana sering menerbitkan karya-karya yang bertemakan bibliofil. Seluruh karya beliau menjadi buruan dalam kalangan penggemar buku baik karya beliau yang lepas mahupun terkini.

Perkataan buku yang tertera di hadapan kulit buku ini telah mencuri perhatian pembaca termasuklah saya. Lantas, membawa pembaca membayangkan apakah motif ataupun matlamat penulis yang setulusnya ingin dipersembahkan kepada khalayak ramai. Siri kali ini membicarakan mengenai kepentingan karya-karya para penulis yang terdapat di seantero dunia. Bagaimana ia mampu memainkan peranan besar dalam menggilap potensi penulis buku, industri buku dan apa saja yang berkaitan dunia perbukuan. Bagaimana sesebuah karya itu muncul dibahaskan lebih meluas disebabkan adanya faktor-faktor pergolakan dan peristiwa yang berkaitan. Uniknya, kerana makhluk bernama buku ini juga ia tetap dicari kendatipun dalam medan pertempuran yang sengit.

Jujur sekali, karya duet penulis ini amat mendalam dan padat menghuraikan pernyataan berkaitan sesebuah buku meskipun karya ini telah berumur lebih 10 tahun. Buku ini mengandungi tujuh bahagian penting dalam membedah keseluruhannya baik kepada tokohnya, zamannya, manusianya dan gagasannya. Penulis menyedarkan kita tentang maslahat dan kebaikan sebuah buku yang mana ia mampu meleraikan segala kekusutan dan kekeliruan. Membangunkan sebuah peradaban, memperkasakan jati diri dan mempertingkat daya intelektual.

Buku menjadi tempat bersandar dan ditemukan rambu-rambu ketenangan jiwa dan raga. Malar segar sepanjang zaman kerana ada tarikan yang tersembunyi dan membolehkan karya-karya tersebut bertahan lama. Selain daripada itu, kehebatan sebuah buku semakin terserlah apabila tercetusnya fenomena politik yang sedang membara. Secara tidak langsung, ia telah memberi laluan kepada para wartawan atau siapa saja misalnya menghasilkan karya berkaitan peristiwa tersebut yang tidak akan mudah lenyap dalam sejarah.

Tamsilannya, penulis menyuguhkan kisah Samantha Power, seorang wanita kelahiran Ireland yang menetap di Bosnia. Beliau menyaksikan kemusnahan dan pembantaian yang berlaku serta menindas hak asasi manusia yang tidak terbela. Samantha turun padang dan membuat laporan berkaitan isu-isu semasa yang gempak sehingga menyebabkan dia menghasilkan karya berjudul A Problem Of Hell.

Melalui kisah Samantha ini terbukti bahawa perkembangan sebuah buku telah berhasil menggugah dunia hanya berdasarkan hal-hal ataupun kejadian yang berlaku di persekitaran. Penulis juga mendedahkan tentang isu pendidikan di Malaysia mampu berkembang lebih jauh apabila wujudnya para pensyarah yang semakin aktif membukukan karya-karya yang ada membangkitkan hal-hal berkaitan pendidikan. Contohnya, Razuan Abdul Kadir, Dekan fakulti Bahasa (UPSI) meneruskan langkahnya sebagai penulis dengan cara melahirkan buku berjudul Pemikiran Tentang Pendidikan Sepanjang Tiga Dasawara (1970-2000): Ke Mana Arah Tujunya?.

Karangan Tuan Shaharom dan Puan Suriati ini turut disegarkan dengan adanya perkongsian mengenai tokoh-tokoh politik seperti Tun Mahathir. Zaman Tun M yang pernah memegang tampuk kekuasaan negara dahulu, dilihat sangat mengesankan apabila beliau begitu dihormati kerana kepimpinannya sebagai tokoh pemikir yang dicemburui.

Maka, tidak hairanlah banyak karya bermutu berkaitan biografi Tun Mahathir diterbitkan untuk mengenang jasa beliau kepada Malaysia sejak dahulu. Inilah kuasa buku tetap menghidupkan tokoh-tokoh kenamaan. Karya ini membuat mata buntang membaca bermacam kajian sejarah daripada para penulis yang kritis. Sesekali, ia telah menyebabkan otak ligat berfikir kerana ketangkasan penulis yang ke hadapan dalam mengulas buku-buku yang ada dinyatakan dalam karya ini.

Sebagai penutup, jika anda meminati sejarah dan boleh menghadam serta mengingat setiap fakta yang diutarakan oleh para penulis, maka karya ini cukup ideal dan sesuai untuk anda memahaminya. Buku ini memuatkan pemerkasaan buku yang memberi impak di seluruh dunia. Membawa kita sebagai pembaca menguak rahsia di sebalik buku melalui penjelajahan dan tinta penulis ke alam buku yang memiliki daya pikatnya. Anda patut membacanya. Kata para penulis, "Jika diperhalusi, daya tarik yang mendalam daripada sesebuah buku hebat tidak terlepas daripada tiga perkara penting, yaitu menggerakkan fikiran dan jiwa, mengilhami atau merangsang inovasi baru dan menggerakkan perbuatan."

Selamat membaca dan selamat menikmati momen-momen sejarah.

 

Tentang Penulis


 


Nama penuh Suriati Munal atau lebih dikenali dengan nama pena Syuhara Suriati. Dilahirkan pada 27 Oktober 1993 dan berasal dari Sabah, Malaysia. Ia merupakan penulis antologi, anekdot, artikel, puisi dan resensi buku. Sudah menerbitkan 11 buah buku termasuk 2 buku solonya. Penulis muda ini juga pernah menulis 3 buku antologi bersama penerbit Rumedia dari Indonesia. Penulis boleh dikenali di laman facebook Syuhara Suriati.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment
To Top