Sastra Untuk Silaturrahmi Antar Bangsa, Persaudaraan, dan Perdamaian ! Happy Reading !

Puisi Mohd. Adid Ab. Rahman

0


KUSUSUN KISAH BULAN MALAM INI DALAM PUISI

 

Bulan berenang-renang di kolam tenang

benarlah katamu wajahnya jelita

bisikan ke arah sinar misalnya menegakkan keadilan

yang selalu didesirkan sangat terpuji

tetapi menjadi batu api

kedamaian di sekitar akan hanya dipenuhi asap

di ruang dapur berantakan selepas sengketa

entah kerana hutang atau salah faham

pada hal ada jalan penyelesaian yang mesra alam

bertolak ansur atau bersangka baik

 

Tak puas aku memandang sambil menyedut udara malam

tampak sayup kelap-kelip lampu di kampung seberang

seperti jiwa dinyalakan rindu

pada seorang ibu yang berada syurga di bawah tapak kakinya

tapi sebentar lagi aku harus pulang

sebab tak mahu orang di rumah lebih lama didera bimbang

dengan harapan esok aku berjumpa pula

 

tak berdosa kususun kisah bulan malam ini dalam puisi

sebagai mana puisi tersusun di kepala penyair

 

Nukilan,

MOHD ADID AB RAHMAN

10 Sept 2021

 


 

JANGAN KAUPUTARKAN LAGU ITU

 

Jangan kauputarkan lagu itu

apa sebabnya? biarlah tersimpan dalam rahsia

kau tak perlu tahu kecuali sebuah larangan itu

 

Jika sudah tahu

aku bimbang kautularkan

lalu beratus-ratus orang hadiahkan bunga

sedangkan aku tidak suka baunya

atau beratus-ratus orang balingkan batu

sedangkan aku tak ada balut bagi luka

 

Jangan kauputarkan lagu itu

kerana aku sudah hafal satu persatu

menyatu dengan kalbu

 

karya,

MOHD ADID AB RAHMAN

Melaka.

 

10 Sept 2021

 

 


 

GADIS ITU

 

Gadis itu menggenggam sekumtum mawar

yang wangi dan bugar

laman tampak indah meriah kerananya

 

Gadis itu menggenggam sekuntum kembang mawar

wanginya tersiar ke sekitar pagi seperti nama yang baik

laman rumah tampak asri dalam susunan kata begitu bijak

mengajak menari lagu Tuhan dan jauhi lorong-lorong kelam

agar tak terhumban ke gaung penyesalan yang tak terlerai

 

Namun gadis itu kini sudah binal di keriuhan kota besar

batinnya kacau, berbenturan antara cemas dan kecewa

harapan terbengkalai di halaman kehidupan yang bebas

tanpa batas

telah mecampakkan ibu bapanya di sela-sela onggokan pilu

menempelak diri yang tak menyempurnakan asuhan bulan

oh getirnya peristiwa

 

Nukilan,

MOHD ADID AB RAHMAN

JB5472 Jln. 6, Taman Jus Perdana,

77500 Selandar, Melaka

11/9/2021

 

 

BARU DETIK INI AKU TEMUKAN TITIKNYA

 

Baru detik ini aku temukan titiknya

rasa setetes madu pengabdian seorang hamba sungguh mengasyikkan

selama ini ditutupi sejuta asap kesombongan

hanya batin mewah dengan kebahagiaan yang sukar dilakarkan

perumpamaan tenang waktu subuh disirami cahaya fajar

seseorang menerima hidayah setiap perjalanan hidup

sentiasa disoroti dan menerima pembelaan-Nya

 

Bermula pagi ini aku sudah kecanduan

menyebut nama-Mu berulangkali tak lagi menyatu dengan sunyi

biar aku semakin dekat dan lekat pada-Mu

dan Engkaudakap aku dengan dakapan kasih sayang

yang tidak berpenghujung seperti hidup insan di sini

adakah lagi sinar yang tak padam-padam

selain dari sinar-Mu?

 

Karya,

MOHD ADID AB RAHMAN

Melaka, Malaysia.

12/9/2021

 

 


Tentang Penulis

 


Mohd. Adid Ab. Rahman asal Negeri Kelantan, sekarang bermukim di Selandar, Melaka.  Penyair ini pernah belajar di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dalam bidang Dakwah.  Antologi bersamanya :  Antologi Puisi ‘Suara Kita Seribu Sajak Merdeka’ (2009), Antologi ‘Tanduo Oh Tanduo’ (2013), Antologi ‘Belati Cinta Zulaikha’ (2003), Ýang Satu (2019), Suara Dari Jiwa (2019), Gumpalan dari Jiwa (2019), Terima Kasih Tuhan (2019), Merentas Sempadan (2020), Ruang Bicara (2020), Angin Rindu (Gapadu 2020), Hujan Kata (Kembara Sastera 2020), Ramadhan Kareem (Tinta Karya 2020), Antologi Klate Di Hati (GEMA 2020), Antologi C Antagonis (ASWARA 2020), Bahtera Merdeka (Tinta Karya 2020), Pasrah (PTK 2020), Citra Yang Tak Padam (Narangkai Publications , 2021), Sejernih Embun (KS 2021), dan lainnya. Sekarang dia menjadi ahli Ikatan Persurat Melayu Melaka (IPM) . Karyanya pernah tersiar di Dewan Sastera, Solusi, Majalah Pendidik, Sinar Harian, Berita Harian, Harakah,Mingguan Malaysia. Alamatnya : JB5472 Jln. 6, Taman Jus Perdana 77500 Selandar, Melaka.

 

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment
To Top