Sastra Untuk Silaturrahmi Antar Bangsa, Persaudaraan, dan Perdamaian ! Happy Reading !

Puisi-Puisi Zulkifli Mohamed

0

BONDA

 

aku mengutip jejakmu

dari langit matahari

dari hutan malam

menjadikan diri sendiri

semakin tua

lalu turut belajar ---

            dari ejek camar

            dari hempas ombak

            dari cucuk kerikil

            dari kerasnya hidup.

 

terima kasih bonda

kerana aku tahu

kau terbaik untukku.

 

Kemaman, Terengganu


 




DI LIDAH ANGIN ( ii )

 

saat angin rebah di lautan

dedaun hanyalah boneka

pada ranting alam

sepi

sunyi

memeluk senja

menantikan esok.

 

moga masih ada

lidah angin

kembali hadir.

 

Kemaman, Terengganu






MALAM MENCARI SYURGA

 

masih adakah kupu-kupu malam

berkepak dalam suram cahaya

di situlah syurga dikucupnya

sebelum cahaya bertelanjang

dalam cermin diri.

 

sepasang kepak yang serupa

telah hilang ghairah

waktu telah mengarinya

pada segelas malam

sentiasa tumpah tak tersisa.

 

mimpi ke syurga ---

            seperti kertas ringgit

            tercetak dalam dunia inflasi.

 

Kemaman, Terengganu


 




SENJA DI BALIK KACA

 

gincu merah di ufuk timur

memudar di kaki hari

titik siang menunduk diam

malam hadir tanpa purnama

kita simpan semuanya

saat kepedihan tumbuh

tanpa henti.

 

melihat dari kaca ini

kita hilang bersama senja.

 

Kemaman, Terengganu


 




SEPI ( ii )

 

senja berwajah suram

sepi berbalut dalam berbayang malam

angin mati di dinding hari

seluruh detik berhimpun.

 

bulan menangguhkan neon

saat sungai di bawahnya

terhiris waktu.

 

Kemaman, Terengganu






Tentang Penulis



ZULKIFLI BIN MOHAMED, dilahirkan di Mersing, Johor. Menetap dan berkerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (DG52) di sebuah sekolah menengah di Kemaman, Terengganu. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam pengkhususan Sejarah Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Serta Diploma Pendidikan, Institut Perguruan Darul Aman (IPDA). Ahli seumur hidup Ikatan Persuratan Melayu (IPM). Juga ahli Persatuan Penulis Alam Maya Malaysia (JOM SASTERA). Telah melibatkan diri dalam penulisan sajak menerusi karya eceran di majalah Al-Islam, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat. Juga di akhbar Harian Ekspres, Berita Harian Ahad, Suara Sarawak dan Wilayah Ku. Selain, karya dalam talian di Sabah360Online.Com dan PotretOnline.Com. Turut terlibat dalam 40 buah antologi puisi. Antaranya ialah Antologi Masa Kecil (Cetakan Indonesia), Antologi Prahara Musim Duka, Antologi Suara Dari Suatu Musim dan Antologi KRI Nanggala 402. Turut menghasilkan dua buah kumpulan puisi bertiga (tiga penulis dalam satu buku puisi) iaitu Kamar Tresna Figura Maya dan Cinta Adalah Sebuah Hamparan Cinta. Boleh ikuti perkembangan penulis di Facebook Zulkifli Mohamed. Atau hubungi di e-mel pondokpuisi@gmail.com



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment
To Top