Sastra Untuk Silaturrahmi Antar Bangsa, Persaudaraan, dan Perdamaian ! Happy Reading !

Resensi Syuhara Sunarti

0

 


Nama buku: Bicaralah Yang Baik Ataupun Diam

Penulis: Iqro' Firdaus

Muka surat: 134

Penerbit: Puteh Press

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Kedua

ISBN: 9-789673-695577

 

Menyelak lembaran dalam naskah ini, sesekali ia mengingatkan kita kembali agar tidak mensia-siakan satu nikmat ini, iaitu lidah. Lidah mampu menyelamatkan manusia demikianlah pula sebaliknya ia mampu membinasakan kita tanpa sadari. Andai dihitung, berapa ramaikah yang berjaya mendidik lisan untuk mengenal perkataan-perkataan yang baik? Adakah kita termasuk dalam kelompok yang mengatur kata-kata yang elok dan indah?

Judul Bicaralah Yang Baik Ataupun Diam merupakan buah tangan daripada penulis kelahiran Indonesia, Iqro' Firdaus. Penulis telah menghasilkan berbagai-bagai buku dan kerap didendangkan namanya di persada Indonesia seperti dalam artikel, majalah dan sebagainya. Karya bermutu yang dihasilkan ini bertujuan hendak membimbing manusia memanfaatkan lisan agar tidak ada yang tersasar dari landasan Islam kerana menyalahgunakan fungsi lisan yang sewajarnya. Buku ini memfokuskan sekadar dua bab yang utama. Bab pertama mengandung tiga belas tajuk kecil yang menguraikan kepentingan membentuk kelakuan yang baik melalui ucapan yang kita gunakan dalam percakapan setiap hari. Akhlak yang berjaya ditanamkan mengikut acuan Islam akan sedaya upaya membimbing setiap insan untuk meluruskan percakapannya dalam hal-hal kebaikan.

Justru itu, pada bagian ini penulis banyak mengklasifikasikan perbualan-perbualan yang menyebabkan adab seseorang hilang dan musnah. Lantas, bagaimanakah pula sepatutnya bagi seseorang melindungi lisan daripada dinodai oleh kata-kata yang kesat, ada dibincangkan lebih padu dalam karya ini. Di samping itu, terdapat berbagai teknik dimuatkan seperti tips menjadi  pembicara yang baik, mengawal lisan ketika amarah sedang memuncak dan lain-lain lagi.

Bagian kedua pula, penulis mencantumkan enam bab kecil yang mendidik seluruh manusia untuk mencontohi ketinggian budi pekerti Rasulullah SAW. Dalam bab kedua ini, kita akan dapat belajar dan melihat cara Rasulullah SAW sebenarnya ketika mengalunkan suara kepada para sahabat. Cara baginda menggunakan lisan sewaktu berkomunikasi sangat halus dan penuh kelembutan serta berbeda jika dibandingkan dengan sesetengah gaya manusia yang sangat tergesa-gesa. Rasulullah SAW merupakan epitome dan semestinya baginda menjadi teladan dalam seluruh aspek termasuklah dari segi percakapan.

Karya ini tidak dikarang dengan omong kosong saja. Malahan, ia sangat kaya dengan dalil-dalil al-Quran, hadis, rujukan ilmiah, tinta para ulama dan kisah-kisah tertentu sebagai panduan untuk mendalami, menghayati, mengetahui ancaman bagi setiap muslim yang tidak cakna dalam perbualannya. Namun, tetap dilengkapi dengan syarahan penulis yang cukup mudah penjelasannya.

Lisan boleh menumbangkan seseorang sekiranya ia tidak dikawal dan diselaraskan mengikut metod-metod Islam. Lisan boleh melayakkan para pelakunya dalam kedudukan yang dihormati dan juga dipandang mulia oleh orang di sekeliling.

Penulis telah menegaskan pembaca dengan membawakan tajuk yang amat berkaitan dengan titipan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang direkodkan, Sabda baginda,

 

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

 

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik dan jika tidak, maka diamlah.” [Shahih Al-Bukhari no. 6018 dan Muslim no. 47]

Penerangan daripada penulis buku ini mencatatkan ibrah ataupun pelajaran yang sangat mustahak. Di antaranya yaitu :

1.      Pentingnya bagi seorang muslim berfikir terlebih dahulu sebelum dia memilih untuk meneruskan perbualannya. Kerana, ramai dalam kalangan kita sendiri menyesal di pengakhiran jalan kerana menghembuskan kata-kata yang menyakitkan. Bak kata peribahasa Melayu yang sering kedengaran, "Telajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padanya."

2.      Bercakap benar ataupun diam. Nabi SAW memperingatkan bahawa jika seseorang membimbangi dirinya tidak mampu mengungkapkan kata-kata yang baik, maka pilihan yang terbaik ialah memilih untuk berdiam.

3.      Tahan lisan daripada memulakan perselisihan. Misalnya, ketika kita sedang berdebat dengan seseorang, sebaiknya kita mengunci lisan walaupun kita berada dalam posisi yang benar. Bercakap dengan manusia yang suka berdebat tidak mendatangkan maslahat. Sekiranya kita tidak mampu menahannya, dikhuatiri kita juga tidak ada beda karena gemar memulakan suatu permusuhan.

4.      Bahasa sangatlah penting dalam berdakwah. Bagi para da'i mereka perlu mempelajari teknik penyesuaian kata bagi menghasilkan keberkesanan dakwah kepada masyarakat yang masih mentah dalam soal hukum agama. Bahasa yang kasar, keras dan sebagainya boleh menyebabkan manusia lari dan pendakwah tidak lagi ingin dikenali dan disanjungi.

5.      Jangan menggunakan lisan untuk mencemuh, mengejek, mengeji dan bermacam lagi olahan kata-kata yang buruk. Kerana sesungguhnya nikmat lisan ini boleh mengakibatkan seseorang dijunamkan ke dalam api neraka. Naudzubillahi mindzalik.

Sebagai penghias bicara akhir, buku ini sangat disarankan bagi meningkatkan kualiti kita dalam bercakap. Diam tidak meletakkan manusia dalam tapak yang rendah. Tetapi, diam mampu mengagungkan jati diri manusia apabila dia bijak mengendalikan lisan demi kebaikannya di hari akhirat kelak.

Di akhiri dengan satu pesanan ringkas daripada pengarang yang tertera pada bahagian blurb, “Kita juga hendaklah berbicara sekadar yang perlu kerana bercakap banyak bercakap, khuatir sekiranya diibaratkan seperti tin yang kosong, nyaring bunyinya. Kata-kata ini bermaksud orang yang banyak bicaranya, namun tidak memberi manfaat kepada yang mendengarnya.

 

  


 TENTANG PENULIS:


Nama penuh Suriati Munal atau lebih dikenali dengan nama pena Syuhara Suriati. Dilahirkan pada 27/10/1993. Berasal dari Sabah, Malaysia. Penulis antologi, anekdot, artikel, puisi dan resensi buku. Sudah menerbitkan 14 buah buku termasuk 2 buku solonya. Penulis muda ini juga pernah menulis 3 buku antologi bersama penerbit Rumedia dari Indonesia. Penulis boleh dikenali di laman facebook Syuhara Suriati.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment
To Top