Sastra Untuk Silaturrahmi Antar Bangsa, Persaudaraan, dan Perdamaian ! Happy Reading !

Resensi Syuhara Suriati

0

  Islam Kata Isteri Bukan Bibik


Nama buku: Islam Kata Isteri Bukan Bibik

Penulis: Ahmad Sarwat

Muka surat: 206

Penerbit: Puteh Press

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

ISBN: 9-789673-695409

Pengulas: Syuhara Suriati


Islam mengangkat martabat wanita dengan menjadikan mereka sebagai kaum yang sangat mulia dan dihormati oleh seluruh masyarakat. Justru itu, kedudukan seorang isteri dan ibu perlu dilayan sebaik mungkin oleh golongan lelaki ataupun suami. Bukan dikasari, dibiarkan membanting tenaga menjalankan semua pekerjaan tanpa ada pertolongan dan belas kasihan.

Adat kian mendidik kepada semua wanita untuk menyediakan, menyiapkan makanan, merapikan pakaian dan memenuhi kehendak syahwat suami pada bila-bila masa sahaja. Bahkan jika kita melihat dari segi konteks agama Islam itu sendiri telah mewajibkan kepada wanita untuk menjadi sebaik-sebaik isteri yang solehah. Senantiasa menyenangkan apabila dipandang serta mengerjakan perintah suami tanpa ada bantahan.

Walau bagaimana pun, buku ini membawa satu kelainan besar karena mendedahkan kepada kita mengenai tanggungjawab sebenar seorang isteri berdasarkan kumpulan hujah penulis dan amat penting untuk dinilai kembali kebenarannya.

Sungguh, tajuk buku yang tertera di hadapan ini telah memukau pembaca untuk mengambil gambaran serba sedikit betapa sesungguhnya isteri bukanlah bibik ataupun tukang gaji. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pihak yang menjadikan isteri-isterinya seperti hamba suruhan yang perlu melaksanakan semua tugasan. Sebaliknya, ada yang memahami arti tanggungjawab yang sememangnya wajib dipikul oleh suami bukanlah si isteri.

Buku ini mengandungi 12 bab yang mana keseluruhannya membincangkan mengenai perihal seorang isteri termasuklah dari segi makna bibik, pendapat ulama salaf, kewajipan suami isteri, mahar, nafkah dan syarat memperolehinya, jimak, hukum menyusukan anak, hukum wanita bekerja di luar rumah dan masalah waris suami isteri.

Fokus utama dalam buku ini adalah untuk menjelaskan lebih detil dan menggali da lil yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang menyebutkan bahawa tugas membasuh pakaian, memasak, membersihkan kerja-kerja rumah dan menguruskan anak-anak pada asalnya adalah kewajipan suami bukanlah isteri.

Bermakna, tugas dalam rumah tangga sebenarnya terletak pada bahu seorang suami dan bukanlah isteri.

Antara salah satu pendapat mazhab As-Syafi'iyah dalam kitab Al-Muhazzab oleh Imam As-Syirazi pada halaman 15 buku ini yang menyokong hal sedemikian ialah,

“Seorang isteri tidak wajib berkhidmat seperti membuat roti, memasak, mencuci dan berbagai lagi bentuk khidmat yang lain. Ini kerana, apa yang ditetapkan (dalam pernikahan) adalah istimta' (kewajiban untuk memberi layanan seksual). Maka, sebarang bentuk layanan yang lain adalah tidak termasuk dalam kewajipan mereka.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kewajipan seorang isteri hanyalah memenuhi kemahuan seksual suami bukan pada perkara-perkara yang lain.

Kebanyakan rakyat di negara Malaysia pengamal tegar dalam mazhab As-Syafi'iyah. Wajar sekiranya, umat Islam dalam negara ini menggeledah hak-hak seorang isteri dan suami bagi menjauhi penindasan ataupun kekerasan.

Secara ringkasnya, karya ini cukup lumayan untuk diketengahkan kepada seluruh umat Islam khususnya bagi individu yang telah berumah tangga. Hal ini disebabkan,


1.       Karya ini menerangkan kepada kita tanggungjawab isteri yang sebenarnya di sisi Islam mengikut pendapat para ulama salaf yang telah dinyatakan.

2.       Wujud perbedaan dalam kalangan ulama kebelakangan yang tidak bersetuju seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syaikh Al-Albani, Syaikh bin Bazz dan Syaikh Al-Uthaimin.

3.      Perlunya bagi seorang suami mencari ilmu agar rumah tangga tidak dihuni oleh pertengkaran kerana perselisihan tanggungjawab.

4.       Meskipun pekerjaan rumah bukanlah tanggungjawab bagi seorang isteri, namun mengerjakannya adalah sunat dan isteri yang reda diberikan ganjaran kerana membantu suaminya di rumah.

Kegagalan dalam memahami peranan masing-masing boleh mematahkan tiang rumah tangga. Tambahan lagi, jika ilmu agama tidak didalami secara serius boleh menyebabkan ramai pasangan yang bercerai berai kerana ego yang sukar dilumpuhkan. Jadi, masukkan buku ini dalam senarai 'wish list' sebagai rujukan ilmu kekeluargaan. Santunilah para isteri sebagaimana kita menyantuni ibu yang membesarkan kita sedari kecil.

Memetik kesimpulan padu daripada penulis buku dari Indonesia ini dalam halaman 9, kata Ustaz Ahmad Sarwat,

“Apabila kita rajin menelusuri kitab-kitab fiqah para ulama daripada mazhab-mazhab besar, khususnya kitab-kitab fiqh yang muktamad berdasarkan mazhab, sudah pasti kita akan berasa terkejut. Pendapat mereka secara umumnya mengatakan, para wanita tidak wajib melakukan semua pekerjaan atau urusan rumah tangga.”.





 

Tentang Penulis


Syuhara Suriati. Dilahirkan pada 27/10/1993. Berasal dari Sabah, Malaysia. Penulis antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku. Sudah menerbitkan 15 buah buku termasuk 2 buku solonya. Penulis muda ini juga pernah menulis 3 buku antologi bersama penerbit Rumedia dari Indonesia. Penulis boleh dikenali di laman facebook Syuhara Suriati.

 


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment
To Top